Tindakan 9 Beradik Ini Dapat Pujian Ramai

Kesian abah selalu tersadai, 9 beradik ‘tipu sunat’ beli kereta baharu

VIDEO PENUH DIAKHIR ARTIKEL

PETALING JAYA: Kepayahan seorang bapa menyara sembilan anaknya dengan hanya gaji sebanyak RM600 sebulan ketika bekerja sebagai tukang kebun sekolah bagaikan berbaloi apabila mendapat hadiah yang tidak disangka-sangka.

Bukan nilai hadiah yang menjadi ukuran, tetapi kesungguhan sembilan anaknya membuat kejutan untuk bapa mereka, Mohd Tawil Hassan Raji, 66, telah berjaya menyentuh emosi netizen.

Anak keempat Mohd Tawil, Misyani, 30, berkata, tiada apa yang membahagiakan mereka adik-beradik selain melihat senyuman terukir di wajah kedua ibu bapanya yang bersusah-payah membesarkan mereka.

“Kami ni belajar tidaklah pandai dan pekerjaan pun biasa-biasa sahaja. Tapi, kami tak sanggup tengok abah sering tersadai di tepi jalan bila kereta Proton Saga terpakai yang dibeli lapan tahun lalu rosak.

“Mulanya, kami nak beli kereta baharu tu tanpa deposit. Tapi, gaji salah seorang adik beradik kami tidak lepas untuk buat begitu.

“Jadi, nak tak nak kena cukupkan juga RM2,000 duit deposit dan kami ambil masa selama dua bulan untuk kumpul,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Mohd Tawil bersama kereta lamanya yang kerap rosak kerana sudah uzur.

Wanita tersebut berkongsi tentang kegembiraan itu di Facebook dan menerima lebih 22,000 tanda suka serta mendapat lebih 14,000 perkongsian.

Bercerita lanjut, Misyani berkata mereka adik-beradik juga terpaksa menipu ibunya gara-gara mahu menyembunyikan kejutan tersebut daripada diketahui bapanya.

Semua itu terpaksa dilakukan selepas usaha mereka merahsiakan kejutan tersebut hampir dihidu oleh ibunya yang bekerja di sekolah sama sebagai pekerja am.

“Saya yang ditugaskan untuk mengutip duit… kutip pula di rumah mak. Mak bertanya kami nak guna duit tu untuk apa.

“Saya terpaksa tipu dan kata duit ini nak guna untuk beli tiket kapal terbang sebab mak pernah cakap dia teringin sangat naik kapal terbang,” katanya sambil berseloroh.

Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu, di sebalik usaha ingin membahagiakan ibu bapa mereka, timbul situasi kurang selesa apabila terdapat kenalan yang seakan tidak senang melihat pemberian kereta tersebut.

Kata Misyani, rumah ibu bapanya hangus terbakar pada Jun lalu dan terdapat penduduk kampung yang prihatin menghulurkan sumbangan wang serta bergotong-royong menyiapkan sebuah rumah kecil sebagai tempat ibu bapanya berteduh.

“Bila kami belikan kereta untuk abah pula, ada kawan yang perli dengan berkata banyak betul duit kami hadiahkan kereta selepas buatkan mereka rumah. Salah ke kami nak bahagiakan ibu bapa sendiri?

“Kalau diabaikan orang mengata, balas jasa pun orang nak bercakap juga,” ujarnya.

Mohd Tawil dan isteri berdiri di hadapan kereta baharu yang dihadiahkan oleh anak-anak mereka.

Namun, Misyani yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang itu enggan mengambil peduli kata-kata orang sekeliling kerana baginya yang penting adalah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak dengan sebaiknya.

Tambah Misyani, mereka adik-beradik berkongsi membayar sebanyak RM50 seorang bagi mencukupkan bayaran ansuran bernilai RM450 sebulan bagi kereta Axia tersebut.

Menurutnya, tempoh ansuran bayaran balik kereta tersebut adalah selama sembilan tahun.

Kini, Mohd Tawil tidak lagi bekerja sebagai tukang kebun sekolah, tetapi berniaga kecil-kecilan di warung berhampiran rumah mereka yang terletak di Meru, Klang.

Jelas Misyani, wang daripada hasil perniagaan itu digunakan oleh bapanya untuk menghidupkan cukai jalan kereta lamanya dan belanja harian.

Tags / Kata Kunci:
balas jasa

Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/09/06/kereta-baru-untuk-abah/#pyWQkmIufAwOK9oU.99

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*