Reaksi Syed Saddiq Apabila Khairy Jamaluddin Memberi Respon Tentang Sukan Asia 2018

PETALING JAYA: Hasrat Malaysia untuk mencapai sasaran tujuh pingat emas pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang akhirnya tercapai.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menerusi status yang dikongsi di akaun Twitter miliknya pada Sabtu malam berkata, Malaysia menutup Sukan Asia 2018 dengan sasaran tujuh pingat emas.

“Memenuhi sasaran yang diumumkan tetapi di luar unjuran podium. Prestasi keseluruhan yang baik,” katanya.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau juga memberi penghargaan terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di atas sokongannya kepada kontinjen negara sepanjang temasya sukan berlangsung.

“Terima kasih Syed Saddiq yang muncul di mana-mana untuk memberi motivasi kepada kontinjen. Ia amat bermakna kepada atlet-atlet,” tambahnya.

Terdahulu, Syed Saddiq mengumumkan sasaran rasmi untuk meraih tujuh pingat emas, namun jika bernasib baik boleh mencecah 11 pingat emas.

Status Khairy tersebut diulang kicau oleh Syed Saddiq menerusi akaun Twitter miliknya pada petang Ahad, dan beliau turut berterima kasih kepada bekas menteri itu di atas usahanya yang membawa kepada kecemerlangan tersebut.

“Juga berbanyak terima kasih kerana memilih untuk memberi sokongan kepada atlet-atlet kita sepanjang malam, daripada menyertai ‘Himpunan Melayu Bangkit’,” katanya, yang merujuk perhimpunan secara besar-besaran orang Melayu yang diadakan di Pekan Kampung Gajah dekat Pasir Salak, Sabtu malam.

Pada malam yang sama Himpunan Melayu Bangkit berlangsung, Malaysia dikejutkan dengan emas ketujuh negara selepas pasukan skuasy lelaki menewaskan pilihan utama Hong Kong 2-1 dalam final di Stadium Skuasy Gelora Bung Karno di Jakarta.

Selain itu, Malaysia turut memperoleh emas iaitu dua dalam acara boling (trio wanita dan Masters lelaki), berbasikal trek (pecut individu), pelayaran (Terbuka Laser 4.7) dan sepak takraw dalam acara regu lelaki serta skuasy (acara perseorangan wanita).

Himpunan Melayu Bangkit dilihat memberi isyarat bahawa orang Melayu sedia untuk bangkit bagi mempertahankan hak istimewa, kedaulatan raja-raja dan agama Islam.

Ramai pemimpin yang hadir pada himpunan itu seperti Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Rahman; Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam; Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarikh Khan dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad.

SUMBER : MSTAR via kucinghitamm

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*