Pelakon Nazim Mengaku Jumpa Pakar Sakit Jiwa

Pelakon Nazim Othman mengakui bertemu pakar sakit jiwa selepas tersebar khabar angin yang mendakwanya mengalami tekanan perasaan akibat perceraiannya dengan bekas isteri, Bella Daly pada tahun lalu.

Bagaimanapun kata pelakon berusia 35 tahun itu, pertemuan dengan pakar sakit jiwa tersebut bukanlah disebabkan tertekan dengan perceraian, sebaliknya, untuk mendalami watak pesakit disleksia demi menjayakan sebuah telefilem tidak lama lagi.

“Ya, saya ada bertemu dengan pakar sakit jiwa, tetapi pertemuan tersebut berkaitan dengan kerja, bukan hal peribadi.

“Saya akan menjalani penggambaran sebuah telefilem yang memerlukan saya berlakon sebagai penghidap disleksia. Jadi, pertemuan tersebut diharap dapat membantu meningkatkan mutu lakonan saya kelak,” jawab Nazim kepada Kosmo! Online.

Tambah Nazim, kehidupannya kini berjalan seperti biasa dan mengakui lebih tenang.

“Ramai yang mengatakan saya murung kerana bekas isteri mahu mendirikan rumah tangga. Tetapi, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali.

“Saya kini lebih tenang, lebih-lebih lagi apabila mendapat tahu yang Bella telah bertemu dengan orang yang akan menjaganya,” ujar Nazim lagi.

Nazim dan Bella mendirikan rumah tangga pada 10 September 2016 dan mengambil keputusan untuk berpisah pada 2 Mei tahun lalu.

Pasangan tersebut tidak dikurniakan cahaya mata. – K! ONLINE

Artikel berkaitan:

‘Dah 10 tahun, nak juga bawa watak lain’

KUALA LUMPUR: Pelakon Nazim Othman tidak kisah jika perlu tampil selekeh dan comot di skrin televisyen kerana enggan selamanya dikaitkan dengan watak stereotaip.

Nazim berkata, selepas 10 tahun menceburkan diri dalam bidang lakonan, dia perlu perlu mempelbagaikan watak untuk mencabar kemampuannya.

“Jangan pandang Nazim seperti yang sering dilihat dalam kehidupan seharian atau menerusi media sosial yang sentiasa kemas dan rapi.

“Kalau watak itu memerlukan saya mengubah penampilan fizikal, saya sanggup lakukan untuk mencari kepuasan sebagai pelakon sebenar.

“Di sini, peranan mereka yang bertugas di bahagian solekan dan dandanan serta pakaian diuji apabila kreativiti mereka diperlukan untuk mengubah imej seseorang pelakon. Solekan dan pakaian yang sesuai membantu pelakon untuk menyerap karakter dengan lebih berkesan,” katanya.

Pemilik nama lengkap, Nushrul Alif Othman itu berkata, luahannya itu bukan bermakna dia sudah bosan membawakan watak orang kaya, sebaliknya lebih kepada ingin mencari kepuasan dalam berkarya.

“Sudah 10 tahun dalam industri lakonan, tidak lengkap rasanya perjalanan saya jika tidak mampu mempelbagaikan karakter. Selama ini, setiap kali membaca skrip yang diterima, kesemua watak yang ditawarkan hampir sama.

“Untuk tahun ini, saya bertekad, malah sanggup tebalkan muka bertemu penerbit dan stesen televisyen bagi meyakinkan mereka, saya juga mampu membawakan watak berbeza.

“Kalau usaha ini tidak berhasil, saya akan lakukan menerusi saluran YouTube dengan menerbitkan sendiri drama yang membolehkan saya membawa watak yang diidamkan,” kata pelakon berusia 34 tahun itu.

Selain berlakon, Nazim juga berjinak-jinak dalam dunia nyanyian dan pernah menghasilkan beberapa single antaranya Kerana Cinta serta Cinta.

sumber:BH

Kredit: geng joyah

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*